Kesan Sedimentasi Terhadap Hidrologi dan Kejadian Banjir: Satu Kajian Kes di Sungai Kelantan

Kamarudin, Mohd Khairul Amri and Toriman, Mohd Ekhwan and Juahir, Hafizan and Azid, Azman and Umar, Roslan and Endut, Azizah (2015) Kesan Sedimentasi Terhadap Hidrologi dan Kejadian Banjir: Satu Kajian Kes di Sungai Kelantan. In: BENCANA BANJIR Kupasan Pelbagai Perspektif. Penerbit Unisza, pp. 53-68. ISBN 978-967-0899-14-5

[img] Text
BAB 3 BUKU BENCANA BANJIR.. 2015.pdf
Restricted to Registered users only

Download (916Kb) | Request a copy

Abstract

Sedimentasi merupakan sebahagian daripada proses sedimentologi yang berlaku ke atas sesuatu lembangan. Sehingga kini, sejarah perkembangan sedimentologi masih belum difahami sepenuhnya walaupun kajian batuan sedimen yang berlandaskan ‘Hukum Uniformitarianisme’ telah mantap dijalankan sejak kurun ke-19 lagi. Namun begitu, sehingga kini telah banyak kajian yang melibatkan sedimen telah dijalankan sama ada di dalam mahupun di luar negara (Tongkul, 2000). Sedimen ialah bahan yang terhasil daripada proses luluhawa dan hakisan batuan yang biasanya diangkut oleh agen angin, air dan ais serta diendapkan secara berlapis (Kamarudin et al., 2009; Tongkul, 2000). Manakala, menurut Dictionary of Environmental Science (2003), sedimen merupakan jisim organik dan bukan organik ataupun sisa pepejal hasil daripada proses luluhawa bahan seperti pasir, kerikil, kelodak, lumpur dan loes (tanah halus) yang kemudiannya diangkut oleh agen hakisan seperti angin, ais ataupun jisim yang dikumpulkan oleh agen semula jadi yang lain (Toriman et al., 2013; Kamarudin et al., 2009). Umumnya, sedimen terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz sama ada kecil seperti pasir, kerikil kecil dan kelodak ataupun yang lebih besar seperti batu hampar yang kebiasaannya didapati di bahagian hulu sungai. Pemendapan sedimen di muara biasanya melibatkan bentuk bahan mendak yang lebih halus seperti pasir dan kelodak. Dalam konteks ini, halaju air sungai memainkan peranan penting iaitu air yang lebih perlahan akan menyebabkan daya pergerakan yang lemah dan daya kemampuan sungai mengangkut sedimen menjadi semakin berkurangan. Secara terperincinya, sedimen boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu sedimen terampai (SS) dan sedimen beban dasar (bed sediment) (Kamarudin et al., 2014a). Sedimen terampai merupakan bahan yang terhakis dan diangkut menerusi regim air untuk sampai ke tempat pemendapan. Sedimen terampai juga biasanya mempunyai bahan koloid yang bersaiz mikro dan hanya memerlukan halaju sungai yang rendah untuk pengangkutannya dari satu titik ke satu titik. Manakala beban dasar sedimen pula merupakan beban bergaris pusat antara 0.2 mm hingga ke 2 mm. Ini bergantung kepada struktur asas batuan dan tanih di sekitar kawasan tersebut (Kamarudin et al., 2014a; Toriman et al., 2008; Hashim et al., 2001). Faktor penentu sumber sedimen terdiri daripada aspek semula jadi seperti hujan dan aspek antropogenik iaitu kesan guna tanah yang merangkumi aktiviti pertanian, perlombongan dan pembinaan. Di samping itu, muatan sedimen juga berpunca daripada hakisan lembangan dan tebing sungai. Pengangkutan sedimen pula melibatkan proses penanggalan bahan dasar akibat proses hakisan dan diikuti pengangkutan dari lokasi asal ke satu lokasi yang baharu sebelum termendap di dasar yang biasanya berlaku di sungai, kolam, tasik, pantai dan lain-lain perairan (Rani et al., 2009). Proses kewujudan sedimen bermula apabila ikatan antara partikel tanih menjadi longgar dan akhirnya dapat melepaskan diri. Punca utama kejadian ini berlaku disebabkan aktiviti tidak terkawal manusia, misalnya pembalakan dan penebangan hutan secara berleluasa. Hal ini kerana, aktiviti tersebut akan menyebabkan hakisan dan gelongsoran tanih disebabkan oleh ikatan kumin-kumin tanih yang longgar. Kumin-kumin tanih yang bebas ini akan diangkut oleh agen semula jadi seperti air hujan, angin, air larian permukaan dan air bawah tanah (Jaafar, 2001). Aliran permukaan yang dihasilkan oleh aliran keluar air bawah tanah biasanya dapat dilihat di kawasan tadahan dan akuifer terpotong sama ada akibat pembinaan jalan raya ataupun perbandaran. Aliran permukaan ini akan terus mengalir ke anak-anak sungai, kemudiannya bergabung satu sama lain dan membentuk sungai utama yang membawa seluruh air permukaan di sekitar lembangan sungai menuju ke laut (Saudi et al., 2015; Gasim et al., 2013; Kamarudin et al., 2013). Setiap titis air hujan yang jatuh ke tanah akan menghasilkan pukulan-pukulan kecil ke atas butiran atau partikel tanah. Pukulan air ini mampu memecahkan tanah yang lunak mahupun batu yang keras. Partikel pecahan ini kemudian mengalir menjadi lumpur dan lumpur ini menutupi rongga-rongga tanah sehingga menghalang air hujan daripada meresap ke dalam tanah (Kamarudin et al., 2014a; Yusri et al., 2009; Tongkul, 2000). Semakin lama, semakin banyak air yang mengalir pada permukaan tanah. Aliran permukaan ini kemudian membawa bersama batu-batu dan bongkah-bongkah lain yang akhirnya akan memperkuatkan geseran pada tanah. Beban sungai terdiri daripada batu tongkol, kerikil, kerakal, pasir, kelodak dan lempung. Bahan ini akan diangkut oleh sungai sebagai agen pengangkutan sedimen melalui beberapa cara iaitu larutan, ampaian, peloncatan dan heretan (Kamarudin et al., 2014b). Proses larutan melibatkan sesetengah bahan kimia yang akan terlarut dalam air. Ampaian pula melibatkan pengangkutan bahan halus seperti kelodak yang akan terampai di dalam air sungai. Seterusnya, peloncatan melibatkan batuan yang lebih kecil seperti kerikil dan kerakal, kemudian akan diloncatkan oleh air mengalir. Proses heretan pula melibatkan batuan yang lebih besar seperti batu tongkol dan diheret oleh air sungai di dasar sungai. Selain itu, jumlah muatan yang diangkut bergantung kepada halaju sungai, isipadu air dan jenis batu hampar. Ini kerana, aliran sungai yang mempunyai halaju yang tinggi akan mengangkut muatan yang banyak. Bagi isipadu air yang mengalir pula, apabila musim hujan, isipadu air akan bertambah. Secara tidak langsung, jumlah muatan bahan yang diangkut juga akan bertambah (Toriman et al., 2012; Lun et al., 2011; Jaafar et al., 2010; Tongkul, 2000; Thomas, 1991). Proses pengangkutan ini akan terus mengalir dan berevolusi secara semula jadi, iaitu sebahagian sedimen akan terus mengalir dan termendap sehingga ke muara sungai. Aspek ini menjadi pelengkap kepada satu sistem yang kompleks dan rumit yang akhirnya memberi kesan kepada satu sama lain. Apabila sesuatu aspek ini diubah, akan memberi impak terus kepada salah satu komponen persekitaran tersebut. Justeru, kajian ini dijalankan bagi melihat kesan dan punca sedimentasi terhadap hidrologi dan kejadian banjir yang berlaku di Sungai Kelantan, Kelantan, Malaysia.

Item Type: Book Section
Subjects: G Geography. Anthropology. Recreation > G Geography (General)
G Geography. Anthropology. Recreation > GE Environmental Sciences
Faculty / Institute: Faculty of Design Arts & Engineering Technology
Depositing User: Dr. Mohd Khairul Amri Kamarudin
Date Deposited: 30 Dec 2015 07:57
Last Modified: 30 Dec 2015 07:57
URI: http://erep.unisza.edu.my/id/eprint/4351

Actions (login required)

View Item View Item