Pemantauan Mangsa Banjir di Pusat Pemindahan: Satu Kajian Kes di Pusat Pemindahan SMK Wakaf Baharu dan Masjid Kebakat, Daerah Tumpat Kelantan

Toriman, Mohd Ekhwan and Kamarudin, Mohd Khairul Amri (2015) Pemantauan Mangsa Banjir di Pusat Pemindahan: Satu Kajian Kes di Pusat Pemindahan SMK Wakaf Baharu dan Masjid Kebakat, Daerah Tumpat Kelantan. In: BENCANA BANJIR Kupasan Pelbagai Perspektif. Penerbit Unisza, pp. 87-92. ISBN 978-967-0899-14-5

[img] Text
BAB 5 BUKU BENCANA BANJIR.. 2015.pdf
Restricted to Registered users only

Download (33Kb) | Request a copy

Abstract

Kejadian banjir bukan perkara asing bagi penduduk di negara ini, khususnya bagi negeri sebelah pantai timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Hal ini kerana setiap kali menjelangnya musim tengkujuh, hujan lebat yang melanda pantai timur sedikit sebanyak mengundang banjir di beberapa kawasan yang rendah, khususnya mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai. Banjir sering berlaku disebabkan oleh faktor alam, pembangunan infrastruktur yang tidak terkawal dan juga curahan hujan yang luar biasa pada satu-satu masa (Gasim et al., 2010). Kejadian banjir besar di negeri Kelantan yang berlaku pada 24 hingga 30 Disember 2014 merupakan satu bencana yang amat dahsyat dan meninggalkan kesan yang sukar dilupakan oleh mangsa-mangsa banjir. Dalam tempoh tersebut, mangsa-mangsa banjir telah berpindah ke kawasan yang lebih selamat serta ditempatkan di pusat pemindahan. Justeru, kajian ini akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir dari hari pertama mendaftarkan diri di pusat pemindahan sehingga keluar dari pusat pemindahan setelah keadaan banjir kembali reda. Melalui pengalaman menjadi sukarelawan sewaktu banjir baru-baru ini, didapati beberapa bangunan seperti sekolah, dewan serba guna, masjid, balai raya telah dijadikan pusat pemindahan banjir. Persekitaran yang sesak dan dipenuhi dengan mangsa banjir yang ramai sedikit sebanyak telah mengganggu keselesaan khususnya bagi bayi, anak-anak kecil, warga tua yang uzur serta kanak-kanak. Keadaan pusat pemindahan yang serba kekurangan dari segi makanan yang tidak mencukupi, kemudahan selimut, tandas yang terhad, bekalan air di tandas terputus, kemudahan elektrik dipotong oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) kerana faktor keselamatan menjadikan suasana kelam kabut, panik dan tidak tenteram. Dalam keadaan sedemikian, sedikit sebanyak telah menjejaskan kualiti hidup mangsa banjir. Justeru, perlunya satu mekanisme yang lebih tersusun dengan sistem operasi standard (SOP) di pusat pemindahan yang difahami dan dipatuhi oleh seluruh masyarakat agar dapat memberi keselesaan kepada seluruh mangsa banjir walau berdepan dengan situasi getir serta sukar. Menurut Hussain & Ismail (2011), kejadian banjir bagi tempoh 45 tahun (1961-2006) mencatatkan bacaan pada paras berjaga-jaga sebanyak 275 kali, aras amaran 92 kali dan 23 kali di paras bahaya. Secara puratanya, tempoh hari yang mengalami banjir dalam jangka masa ini adalah sebanyak 9.2 hari tanpa mengambil kira tahun yang tidak mempunyai rekod (1966, 1967 dan 1995). Selain itu, keadaan ini menggambarkan bahawa Sungai Kelantan merupakan salah sebuah lembangan yang kerap mengalami banjir dengan magnitud air yang tinggi. Rata-rata penduduk menganggap pengurusan bencana seperti banjir ini hanya melibatkan agensi tertentu sahaja seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN),anggota Rela, bomba dan tentera. Sebenarnya pengurusan banjir ini melibatkan multiagensi mengikut fungsi masing-masing bermula peringkat perancangan, semasa kejadian dan seterusnya fasa pascabanjir. Justeru, kefahaman masyarakat tentang agensi-agensi ini akan memudahkan segala urusan dan melicinkan pemberian bantuan dan bekalan-bekalan untuk terus sampai kepada mangsa yang disasarkan. Jadual 5.1 menunjukkan statistik pemindahan mangsa banjir mengikut jajahan di negeri Kelantan bagi tahun 2014. Berdasarkan jadual tersebut, dapat disimpulkan bahawa banjir kali ini amat teruk dan terburuk telah melanda negeri Kelantan. Pihak kerajaan terpaksa menguruskan keseluruhan mangsa banjir yang berjumlah 38382 orang bukanlah sesuatu yang mudah. Jajahan Tumpat menunjukkan bilangan mangsa yang paling ramai dipindahkan dengan jumlah 8714 orang. Hal ini disebabkan sebahagian besar topografi jajahan Tumpat merupakan kawasan tanah pamah yang rata dan berkedudukan rendah. Malahan penduduknya ramai tinggal di sepanjang dataran Sungai Kelantan. Walaupun media sering menyatakan antara kawasan yang terjejas teruk ialah di Kuala Krai dan Gua Musang, namun kesan banjir sebenarnya turut melibatkan keseluruhan penduduk yang tinggal di sepanjang Lembangan Sungai Kelantan. Beberapa bandar menerima impak yang agak buruk ialah bandar Kuala Krai, Tanah Merah, Kota Bharu dan Pasir Mas. Secara keseluruhannya, bandar-bandar ini mengubah landskap sebaik sahaja banjir surut dengan timbunan lumpur setebal satu hingga dua kaki. Jalan-jalan, bangunan-bangunan, premis perniagaan, kawasan kediaman, sekolah, pasar dan longkang-longkang semuanya dipenuhi lumpur. Kerja-kerja pembersihan terpaksa dilakukan secara bergotong royong. Pihak bomba, Majlis Daerah dan sukarelawan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) bertungkus-lumus untuk membersihkan peralatan, perabot dan bangunan yang dipenuhi lumpur. Kerja-kerja sebegini bukanlah sesuatu yang mudah kerana hampir keseluruhan penduduk mengalami masalah selepas berlakunya banjir. Jajahan Pasir Putih menunjukkan bilangan mangsa yang tidak begitu ramai kerana jajahan ini tidak terletak dalam kawasan lembangan Sungai Kelantan. Begitu juga dengan Jajahan Bachok, tiada rekod kejadian banjir melanda jajahan tersebut. Kedua-dua jajahan ini tidak termasuk dalam Lembangan Sungai Kelantan.

Item Type: Book Section
Subjects: G Geography. Anthropology. Recreation > GE Environmental Sciences
H Social Sciences > H Social Sciences (General)
Faculty / Institute: Faculty of Design Arts & Engineering Technology
Depositing User: Dr. Mohd Khairul Amri Kamarudin
Date Deposited: 04 Jan 2016 01:20
Last Modified: 04 Jan 2016 01:20
URI: http://erep.unisza.edu.my/id/eprint/4347

Actions (login required)

View Item View Item