Fenomena Banjir Terburuk di Kelantan Sepanjang Musim Monsun di Pantai Timur Semenanjung

Gasim, Muhammad Barzani and Toriman, Mohd Ekhwan and Kamarudin, Mohd Khairul Amri and Azid, Azman (2015) Fenomena Banjir Terburuk di Kelantan Sepanjang Musim Monsun di Pantai Timur Semenanjung. In: BENCANA BANJIR Kupasan Pelbagai Perspektif. Penerbit Unisza, pp. 25-38. ISBN 978-967-0899-14-5

[img] Text
BAB 1 BUKU BENCANA BANJIR.. 2015.pdf
Restricted to Registered users only

Download (735Kb) | Request a copy

Abstract

Banjir ialah satu bencana alam yang berlaku disebabkan oleh faktor klimatologi atau faktor iklim seperti keadaan suhu, taburan hujan, sejatan, pergerakan angin dan keadaan semula jadi muka bumi (Berita Harian, 2013). Di Malaysia, banjir mahupon banjir kilat berlaku secara tradisi, terutama di Pantai Timur Semenanjung semasa musim tengkujuh (Gasim et al., 2010). Peningkatan kekerapan kejadian banjir dalam negara berlaku secara semula jadi kesan daripada perubahan monsun ataupun disebabkan perbandaran dan peningkatan kawasan setinggan dalam bandar (Rahman, 2007; Gasim et al., 2010; Rose & Peter, 2001). Banjir biasanya berlaku sama ada akibat hujan yang berterusan sehingga menyebabkan wujudnya kuantiti air yang lebih besar daripada biasa atau air sungai yang melimpah ke tebing sungai akibat terlebih daripada kapasiti ataupun kedua-duanya (Jamil et al., 2012). Dasar sungai yang semakin cetek di kawasan hilir kesan daripada pemendapan menyebabkan banjir semakin mudah berlaku (Toriman et al., 2007, 2012). Keadaan kawasan perbandaran yang didasari oleh tanah liat yang bersifat tidak telap air, cepat tepu dan kurang menyerap air akan menyebabkan air larian cepat bergerak ke dalam sungai jika berlaku hujan lebat (Dontsova & Norton, 2002). Hakisan tebing yang memberikan kesan terhadap ketebalan sedimen dalam sungai juga menyumbang kepada kejadian banjir (Ward & Trimble, 2004). Gasim et al. (2007) mengenal pasti banjir yang berlaku di Dungun, Terengganu adalah disebabkan oleh empat factor iaitu curahan hujan yang tinggi, aliran sungai yang perlahan, luruan laut ke arah darat dan halaju serta hala tiupan angin ke daratan. Fenomena ini merupakan kesan daripada beza pasang surut yang agak besar di kawasan Pantai Timur Semenanjung. Banjir besar yang berlaku di Kelantan dan beberapa negeri di Semenanjung pada bulan Disember 2014 telah mendatangkan pelbagai impak negatif terhadap kehidupan harian masyarakat di kawasan terlibat. Hujan lebat yang turun di bahagian selatan Kelantan secara berterusan selama beberapa hari menyebabkan sebahagian besar jajahan Kuala Krai dan Gua Musang, termasuk kawasan yang tidak pernah terjejas sebelum ini mula dinaiki air. Banjir ini juga telah menyebabkan sebahagian Kelantan Selatan, terutama jajahan Gua Musang dan Kuala Krai telah ditenggelami air dan terputus hubungan darat dengan kawasan berhampiran kerana telah menyerupai sebuah pulau. Turut berlaku peningkatan aras air sungai secara mendadak di beberapa sungai utama di negeri ini seperti Sungai Galas, Dabong; Sungai Lebir, Tualang; Sungai Golok, Rantau Panjang dan Sungai Kelantan akibat daripada hujan lebat yang berterusan dari 18 Disember sehingga 28 Disember 2014 (Jadual 1.3). Keadaan tersebut dikatakan tercetus kerana fenomena bulan baru iaitu kedudukan bulan yang agak berhampiran dengan bumi, sekali gus menyebabkan air pasang besar di kawasan Pantai Timur. Sementara itu, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh yang berada di bahagian utara pula berdepan ancaman air pasang sehingga mencetuskan banjir kilat dan hakisan ombak yang kuat terutama di kawasan pesisir pantai. Berdasarkan data yang diperoleh dinyatakan bahawa banjir Disember 2014 ini telah menyebabkan lima kematian dan sebanyak 158,476 penduduk terpaksa dipindahkan (Portal Bencana, 2014). Rajah 1 ialah peta yang menunjukkan taburan jumlah penampungan dan kematian yang berlaku di beberapa negeri yang terlibat banjir. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti taburan hujan harian, bulanan dan tahunan yang berlaku di Kelantan, menghubungkaitkan data taburan hujan dengan perubahan paras air di beberapa stesen terpilih, serta mengenal pasti kesannya ke atas banjir pada tahun 2014 di Kelantan.

Item Type: Book Section
Subjects: G Geography. Anthropology. Recreation > GE Environmental Sciences
Faculty / Institute: Faculty of Design Arts & Engineering Technology
Depositing User: Dr. Mohd Khairul Amri Kamarudin
Date Deposited: 04 Jan 2016 01:20
Last Modified: 04 Jan 2016 01:20
URI: http://erep.unisza.edu.my/id/eprint/4346

Actions (login required)

View Item View Item